Followers

Isnin, 17 Januari 2011

Selagi Tun Mahathir Masih Hidup, Hukum Hudud Akan Mati.


Ustaz Nik Aziz semakin meloyakan ahli-ahli dan pengikut Parti Melayu Islam Pas.

Ketika majlis bertemu bloggers di Kuala Lumpur, Nik Aziz diajukan soalan kenapa PAS seolah2 tidak mahu melaksanakan hudud di Kelantan, Nik Aziz menjawab: :

“ Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan mengambil tindakan. Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran... Jadi kalau (kita) tak boleh buat semua, jangan kita tinggal semua,” – Nik Aziz

Terbukti dengan jelas bahawa PAS sememangnya menggunakan agama Islam hanya sebagai alat politik untuk mengekalkan sokongan dan undi dari umat Islam yang mudah terpedaya.

Ustaz Nik Aziz dengan lidah yang fasih terus berbohong kepada blogger dan orang ramai tentang alasan Pas tidak melaksanakan hudud walaupun sudah diluluskan di Kelantan.

Memang Kelantan pernah digantung oleh MAGERAN untuk menyelamatkan rakyat Kelantan dari persengketaan politik sesama umat Islam. Tindakan ini diambil untuk mententeramkan keadaan sehingga kerajaan Kelantan dapat dipulihkan dan rakyat diselamatkan dari kancah perbalahan yang tidak berfaedah dan amat merugikan.

Dalam kes hudud ini, ustaz Nik Aziz dengan sengaja, secara kebudak-budakan dan kurang bijak mengaitkan MAGERAN sebagai alasan walaupun tidak kena mengena dengan enakmen hudud mereka. 

Tun Mahathir hanya mengingatkan sekiranya berlaku kacau-bilau di kalangan rakyat bersabit dengan pelaksanaan hudud, maka Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan. Ingatan Tun Mahathir hanyalah secara umum sebagai menasihati Kelantan implikasi pelaksanaan hudud itu. Tidak disebutpun akan diadakan MAGERAN atau apa-apa tindakan secara khusus.

Tetapi ustaz Nik Aziz yang memiliki lidah yang fasih mengeluarkan kata-kata untuk menyelamatkan diri dan partinya walaupun terpaksa bercakap perkara yang tidak benar.

Seluruh rakyat Malaysia sudah maklum bahawa Tun Mahathir sudah tidak lagi memegang tampuk kuasa pemerintahan dan Pas berkuasa penuh di Kelantan. Maka tentulah Pas boleh melaksanakan hudud yang telahpun mereka luluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Tetapi ustaz Nik Aziz lebih berminat membohongi orang ramai dan meletakkan kegagalan mereka kepada Tun Mahathir.

Perangai kebudak-budakan Pemimpin Besar Pas ini semakin menyebabkan ahli-ahli dan pengikut Pas sudah semakin bosan dan melihat Pas hanyalah sebagai agen DAP untuk memundurkan umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Pada kepercayaan ustaz Nik Aziz, Hudud Pas akan terus mati selagi Tun Mahathir masih hidup.

Baca surat Tun Mahathir Kepada ustaz Haji Nik Aziz berikut:

PERDANA MENTERI MALAYSIA

YAB Tuan Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat 
Menteri Besar Kelantan
KELANTAN

Y.A.B. Tuan Haji, 

PENGUATKUASAAN KANUN JENAYAH SYARIAH II 1993 DI NEGERI KELANTAN 

Rujukan : MB(KN)(S)16/6/(26)
Bertarikh 8 Jun 1994

Pihak kerajaan pusat sentiasa berpandukan kepada kebijaksanaan (al-Hikmah) yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW. dan juga para sahabat baginda khususnya al-khulafa ar-Rasyidun dalam melaksanakan ajaran Islam lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hukum-hukum jenayah.

1. Jalan yang diambil oleh Kerajaan Pusat ini adalah juga berpandukan kapada kaedah yang terdapat dalam sistem pemerintahan Islam iaitu "tindakan pemerintahan adalah sentiasa bergantung kapada kepentingan ramai (muslihat umum)." Penguatkuasaan kanun jenayah yang digubal oleh Kerajaan PAS di Kelantan, menurut kajian sehingga setakat ini tidak menampakkan dan tidak menyakinkan pakar-pakar perundangan Islam yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik bahawa ia selari dengan ajaran dan kehendak Islam sebagaimana yang telah diuruskan dengan bijaksana oleh Rasulullah SAW. dan para sahabat.

2. Sepertimana yang Amat Berhormat sendiri sedia ketahui, KEADILAN adalah ASAS yang paling utama ditekankan oleh agama Islam apabila melaksanakan sesuatu perkara. Penekanan mengenai dengan keadilan adalah sangat terserlah dalam ajaran Islam lebih daripada penekanan yang

terdapat dalam ajaran-ajaran yang lain dalam sejarah agama. Baginda Rasulullah SAW. sewaktu mengembangkan agama Islam ialah usaha menghapuskan ketidakadilan yang menjadi sebahagian daripada budaya di zaman itu.


3. Tidak perlu bagi saya menyatakan disini betapa banyaknya terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan tentang pentingnya keadilan dan lebih banyak bagi ayat-ayat yang mencela sebarang jenis kezaliman. Disamping itu al-Quran juga sentiasa menggesa supaya dielak daripada terjadinya huru-hara dan Allah sendiri sangat tidak gemarkan kapada mereka yang menyebabkan huru-hara berlaku. Kita hanya bertindak balas terhadap sikap permusuhan dan serangan yang dilakukan terhadap kita. Di Malaysia, orang bukan Islam bukan sahaja tidak memusuhi kita tetapi mereka memberi kerjasama bahkan membantu kita dalam urusan-urusan yang bersangkutan dengan kegiatan dan amalan ajaran Islam.

4. Khusus mengenai undang-undang jenayah PAS di Kelantan, kajian awal menunjukkan dengan jelas bahawa undang-undang itu yang disediakan menerusi perjuangan sebuah parti politik ternyata bukan sahaja menyebabkan ketidakadilan aakan berlaku tetapi, sebaliknya ia akan membawa kezaliman. Kebenaran kenyataan ini adalah berdasarkan kapada keterangan berikut:


(i) Dakwaan bahawa undang-undang ini akan dikuatkuasakan hanya di kalangan orang Islam sahaja dan tidak digunapakai untuk orang bukan Islam akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara berlaku. Memang benar di zaman Nabi Muhammad SAW., orang Yahudi biasa dihukum di bawah undang-undang yang berada di dalam kitab Taurat mereka tetapi kitab Taurat mempunyai hukuman yang tidak berbedza dengan hukum-hukum dalam al Quran. Mereka yang berzina umpamanya, akan dihukum rejam sama seperti hukuman terhadap jenayah yang sama bagi orang Islam. Justru itu tidak ada perbedzaan sama ada penjenayah dihukum di bawah undang-undang Islam atau Undang-undang Yahudi di zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi terdapat perbedzaan yang amat ketara di antara hukuman di bawah undang-undang yang ada sekarang dengan hukuman di bawah undang-undang jenayah yang dicadangkan oleh kerajaan PAS di Kelantan. Menghukum orang Islam dengan lebih berat tetapi orang bukan Islam dengan amat ringan untuk jenayah yang sama atau jenayah dilakukan bersama amatlah tidak adil dan merupakan satu kezaliman, sedangkan undang-undang PAS akan menyebabkan ketidakadilan dan kezaliman berlaku, maka undang-undang PAS tidak boleh diterima sebagai undang-undang Islam atau secucuk dengan undang-undang Islam ataupun selaras dengan ajaran Islam. Ia sebenarnya tertentangan dengan agama Islam.

(ii) Masaalah kesalahan merogol wanita, berdasarkan kapada undang-undang PAS, jika seseorang wanita yang belum kahwin melahirkan anak maka ini adalah bukti ia telah berzina dan akan dihukum mengikut undang-undang PAS, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah wanita itu adalah mangsa rogol. Mengikut undang-undang PAS jika ia menuduh perogolnya, tuduhan hanya boleh diterima sah jika terdapat empat orang saksi (yang terdiri daripada orang-orang yang baik, yang tidak melakukan dosa besar) yang menyatakan bahawa telah melihat dengan terang dan jelas bahawa yang dituduh telah merogol wanita berkenaan.


Seperti kita ketahui, melainkan dalam keadaan perang seperti di Bosnia diwaktu mana orang Serb merogol beramai-ramai wanita Bosnia, tidak mungkin jenayah merogol dilakukan di hadapan saksi-saksi yang terdiri daripada orang-orang yang baik. Jika saksi ini melihat dan mereka tidak menolong wanita berkenaan, mereka boleh dianggap sebagai bersubahat seperti penjenayah-penjenayah Serb bersubahat dengan perogol daripada kaum mereka. Jika ada pun saksi, dan mereka tidak membuat apa-apa untuk menolong mereka tidak boleh dianggap sebagai terdiri daripada orang yang baik, tetapi disebaliknya dianggap sudah bersubahat. Dengan itu tuduhan

mangsa rogol akan ditolak dan perogol akan terlepas.

Keadaan di mana mangsa rogol dihukum salah kerana melahirkan anak di luar nikah dan perogol dilepaskan sebagai tidak bersalah kerana tidak ada saksi adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh sesiapa pun sebagai sesuatu yang adil, bahkan aia adalah satu kezaliman yang dahsyat.



5. Hukum Hudud Islam bertujuan untuk memberi keadilan kapada semua pihak. Ia bukanlah bertujuan untuk melakukan kezaliman. Undang-undang PAS jelas menunjukkan ketidakadilan dan kezaliman yang ketara akan berlaku. Justeru itu undang-undang yang disediakan oleh PAS bukanlah undang-undang yang menepati ajaran Islam. Ia hanyalah undang-undang ciptaan PAS yang bertentangan dengan penekanan oleh agama Islam yang menuntut supaya menghukum secara adil dan menolok sebarang kezaliman. Kerajaan Pusat akan sentiasa berpandu dan menerima ajaran-ajaran dan amalan Islam dari semua aspek tanpa diheret oleh kehendak organasasi politik yang mempunyai kepentingan yang lain daripada Islam dan kepentingannya .


6. Jika undang-undang PAS yang jelas mengandungi unsur-unsur ketidakadilan dikuatkuasakan dinegara ini, dan jika ia dikatakan itulah Hukum Hudud Islam maka umat Islam dan juga anggota masyarakat bukan Islam akan hilang kepercayaan Islam membawa keadilan untuk penganutnya. Ia juga memberi gambaran yang buruk terhadap agama yang suci ini dan menjejaskan imej orang-orang Islam di kalangan penganut agama-agama yang lain. Ia tetap akan menyebabkan penganut agama lain menjauhkan diri daripada agama Islam dan menyebabkan orang yang berminat memeluk Islam menolaknya.


7. Kerajaan Pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya. Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan Kerajaan Pas menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka Kerajaan Pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadapKerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.


DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

15 Julai 1994


Baca juga Kupasan Hukum Hudud Kelantan di bawah ini:


KUPASAN HUKUM HUDUD KELANTAN


Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993.  Ini berikutan dengan janji Parti Islam SeMalaysia untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihanraya 1990.

Namun begitu, sehingga sekarang Undang-undang ini belum dikuatkuasakan oleh Negeri  Kelantan.  Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, telah memberi berbagai-bagai alasan untuk perkara.  Antara alasan yang paling besar yang diberikan adalah pihak kerajaan Pusat (UMNO) tidak membenarkannya.  Namun Nik Aziz tetap berjanji akan melaksanakan Hukum Hudud tersebut, setelah dikritik oleh Sultan Kelantan pada 19 Mei 1996.

Dari pandangan biasa, memanglah mudah untuk kita menuding jari kepada kerajaan Pusat dan menuduh ianya tidak islamik dan sebagainya.  Tapi bila kita kaji semula, kerajaan Pusat di bawah pimpinan Datuk  Seri Dr. Mahathir Mohammad tentulah mempunyai sebab yang kuat untuk menghalang perlaksanaan hukum tersebut. 

Berikut adalah petikan ucapan Dr. Mahathir di Nilam Puri, 1994

Ini tidak bermakna kita menolak hukum hudud. Kita hanya menolak tafsiran dan undang-undang PAS Kelantan yang tidak serasi dengan maqasid syariah. Penolakan sesuatu yang salah adalah wajib jika kita berpegang kepada ajaran Islam.

UMNO tidak melihat undang-undang ini sebagai UMNO, sebagai sebuah Parti Politik. UMNO mengasingkan parti dan politik dalam perkara ini. UMNO hanya mengkaji daripada sudut agama semata-mata. Siapa juga mesti kaji, terima atau tolak undang-undang PAS daripada sudut agama. Adalah salah melihat undang-undang Islam daripada sudut atau kepentingan Parti. UMNO tidak berbuat demikian.

Yang menolak dan patut menolak undang-undang PAS ialah orang Islam dalam UMNO. Pendirian UMNO sehingga kini ialah kerana orang Islam dalam UMNO belum mendapat bukti kajian yang tepat dilakukan berlandaskan ilmu feqah dan maqasid syariah. la bukanlah satu keputusan yang dibuat oleh UMNO secara sewenang-wenang.

Saya bercakap di sini sebagai seorang orang Islam yang dipertanggungjawab sebagai Presiden UMNO. Saya juga dipertanggung jawatan Perdana Menteri Kerajaan Malaysia. Soal undang-undang PAS bukan soal Dewan Rakyat semata-mata, walaupun Dewan Rakyat mempunyai peranan mengikut Perlembagaan Negara.

Kerajaan perlu mengkaji secara teliti undang-undang PAS Kelantan. Satu badan yang terdiri daripada orang Islam yang pakar dalam agama, hukum hakam dan jenayah perlu ditubuh. Mereka ini hendaklah terdiri daripada orang yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang lain selain pegangan kepada agama Islam. Namun mereka perlu kepakaran bukan sahaja dalam agama Islam tetapi juga dalam agama-agama lain dan dalam bidang jenayah dan undang-undang sivil dan jenayah. Seperti biasa mereka perlu mengambilkira keadaan semasa yang mempengaruhi amalan dan pelaksanaan ajaran, ibadat dan hukum dalam Islam.

Kerajaan Malaysia, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap agama dan umat Islam di Malaysia akan mengambil tindakan untuk menubuhkan badan ini. Sementara itu undang-undang PAS tidak boleh diterima atau dilaksanakan oleh sesiapa kerana ia masih bukan undang-undang Islam dan bukan undang-undang negara.

            Bila dirujuk di kalangan cerdik pandai agama, sebenarnya memang terdapat beberapa kekurangan yang serius dalam Undang-undang Hukum Hudud tersebut.  Di bawah ini penulis akan cuba memberikan sedikit kupasan berkenaan kekurangan-kekurangan tersebut, terutama sekali dalam bab zina.


PETIKAN UNDANG-UNDANG HUKUM HUDUD KELANTAN

Berikut ini di nukilkan sebahagian dari Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud):


BAHAGIAN III

Keterangan

39.     Bagaimana membukti kesalahan. En. 2/91.

(1)          Kecuali jika ada percanggahan dengan peruntukan yang ada dalam Enakmen ini, maka Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1991 hendaklah dipakai untuk membuktikan kesalahan-kesalahan di baawah Enakmen ini.
(2)          Semua kesalahan di bawah Enakmen ini samada kesalahan hudud atau kesalahan qisos, atau kesalahan ta'zir, hendaklah dibuktikan dengan keterangan lisan atau iqrar yang dibuat oleh tertuduh.

40. Bilangan saksi

(1)          Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan semua kesalahan di bawah Enakmen ini melainkan zina, hendaklah sekurang-kurangnya dua orang.
(2)          Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan zina hendaklah tidak kurang daripada empat orang.

41. Syarat-syarat menjadi saksi

(1)          Tiap-tiap orang saksi hendaklah terdiri daripada seorang lelaki Islam yang akil baligh dan hendaklah seorang yang adil.
(2)          Seseorang itu adalah dianggap adil jika ia menunaikan apa-apa yang disuruh oleh Islam dan menjauhi daripada dosa-dosa besar serta tidak mengekalkan dosa-dosa kecil dan juga mempunyai isti'mal al-muru'ah, (perasaan dan pendirian menghormati diri).
(3)          Seseorang itu adalah dianggap adil, sehingga sebaliknya dibuktikan.

42. Keadaan keterangan

(1)          Untuk membuktikan tuduhan terhadap tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud atau qisos, keterangan yang diberi hendaklah benar-benar terang dan tidak ada apa-apa kesamaran dan keraguan.
(2)          Tiap-tiap saksi hendaklah dengan terang menyatakan bahawa dia benar-benar melihat perbuatan yang didakwakan itu dan dalam kes zina pula keempat-empat orang saksi itu hendaklah menyatakan bahawa mereka benar-benar melihat kemasukan zakar ke dalam faraj perempuan pasangan yang bersetubuh itu dengan juga hendaklah jangan ada perselisihan dan pertelingkahan di antara saksi-saksi di dalam keterangan itu.

43. Menarik balik keterangan

(1)          Untuk menyebabkan hukuman hudud dikenakan kepada tertuduh setiap saksi itu hendaklah berdiri teguh di atas keterangan terhadap tertuduh itu, bukan sahaja dalam masa perbicaraan dan selepasnya, tetapi juga ketika hukuman itu dilaksanakan, kerana jika keterangan itu ditarik balik sebelum hukuman itu dilaksanakan, maka tertuduh itu tidak lagi boleh dikenakan hukuman hudud, dan jika keterangan itu ditarik balik ketika tertuduh sedang menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.
(2)          Dalam kes zina jika seseorang saksi itu enggan memberi keterangan, atau memberi keterangan yang berlawanan dengan tuduhan, atau memberi keterangan menyokong tuduhan itu tetapi kemudiannya menarik balik keterangan itu, yang mana dengan sebab itu bilangan saksi yang menyokong tuduhan itu menjadi kurang daripada empat orang, maka tuduhan zina terhadap tertuduh itu tidaklah terbukti, dan yang demikian tertuduh itu adalah terlepas daripada dikenakan hukuman hudud; tetapi saksi-saksi yang telah memberi keterangan menyokong tuduhan itu adalah bersalah kerana melakukan kesalahan qazaf.

44. Iqrar

(1)          Sebaik-baik keterangan untuk menyabitkan tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud ialah iqrarnya sendiri.
(2)          Iqrar itu hendaklah dibuat dengan sukarela dan tanpa apa-apa paksaan di hadapan seorang pegawai kehakiman dan kemudiannya diulangi di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan; dan jika perbicaraan itu mengenai kes zina maka iqrar itu hendaklah diulangi sebanyak empat kali di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan:

Dengan syarat bahawa iqrar itu hendaklah dibuat dan diulangi dengan tidak ada apa-apa ugutan, janji atau dorongan; dan hendaklah dengan nyatanya membuktikan secara terperinci bahawa tertuduh itu benar-benar telah melakukan kesalahan yang dengannya dia telah dituduh, dan dia faham bahawa dia akan dihukum kerana membuat iqrar.
(3)          Iqrar itu hanyalah boleh diterima sebagai keterangan terhadap tertuduh yang membuat iqrar itu sahaja, dan tidak boleh digunakan terhadap orang lain; dan untuk menjadikannya sah maka iqrar itu hendaklah bukan satu iqrar yang ditarik balik.

45. Menarik balik iqrar

(1)          Sesuatu iqrar itu boleh ditarik balik oleh tertuduh yang membuatnya pada bila-bila masa sahaja; meskipun pada ketika dia sedang menjalani hukuman.
(2)          Jika sesuatu iqrar itu ditarik balik sebelum dilaksanakan hukuman ke atasnya maka tertuduh itu tidaklah lagi boleh dikenakan hukuman itu, dan jika dia menarik balik iqrar itu pada ketika dia sedang menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.
(3)          Jika pada bila-bila masa sebelum atau pada ketika hukuman dilaksanakan, tertuduh itu dapat melarikan diri daripada pihak yang berkuasa, maka dia hendaklah dianggap sebagai telah menarik balik iqrar itu; dan yang demikian peruntukan subsekseyn (2) hendaklah terpakai.

46. Keterangan qarinah

(1)          Kecuali seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen (2) dan (3) keterangan qarinah walaupun berkaitan hendaklah tidak boleh dijadikan satu cara yang sah untuk membuktikan kesalahan hudud.
(2)          Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dapat membuktikan sebaliknya.
(3)          Dalam perkara minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, bau minuman yang didapati dalam nafas tertuduh itu atau muntahnya yang mengeluarkan arak atau sebarang minuman yang memabukkan atau apa-apa kesan darinya, atau pemerhatian Mahkamah kepada keadaan tertuduh itu bahawa dia sedang berada di dalam keadaan mabuk, hendaklah boleh diterima sebagai keterangan untuk membuktikan bahawa dia telah melakukan kesalahan syurb, melainkan jika ia dapat membuktikan sebaliknya.

47.              Apabila seseorang tertuduh itu tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud kerana saksi-saksi telah menarik balik keterangan mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 43 atau kerana tertuduh itu telah menarik balik iqrarnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 45 atau kerana keterangan saksi yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan hudud, maka tertuduh bolehlah dihukum dengan hukuman ta'zir, dan mahkamah hendaklah mengambil tindakan untuk menjatuhkan hukuman itu sekiranya ada keterangan yang cukup bagi maksud itu.

(Pelaksanaan Hukum Hudud Di Kelantan, halaman 120-125)


KUPASAN SEKSYEN 41 DAN 42


          Seksyen 41 dan 42 menerangkan mengenai syarat-syarat menjadi saksi dan keadaan keterangan yang boleh dikira sebagai sah dari saksi-saksi.  Di sini, Dr. Mahathir menerangkan lagi:

Untuk mengesahkan bahawa wanita itu benar-benar telah dirogol dan bukan ianya dengan rela hati berzina, empat orang saksi yang terdiri daripada orang yang tidak berdosa besar dan tidak melakukan dosa-dosa kecil berulangkali diperlukan.
Saksi seperti ini sudah tentu sukar didapati. Yang pertamanya, perogol tidak merogol di hadapan saksi. Ia sudah tentu tidak ingin mendedahkan dirinya kepada hukuman yang berat yang akan dikenakan ke atasnya. Jika hukuman tidak berat sekalipun ia tidak akan mendedahkan dirinya.

Saksi yang mulia tidak akan berdiam diri melihat perbuatan merogol berlaku di hadapan mereka. Tentulah mereka tidak bertanggungjawab jika mereka melihat jenayah yang begitu dasyat berlaku di hadapan mereka tanpa memberi pertolongan. Jika mereka tidak cuba menolong maka mereka akan menjadi orang yang bersubahat dengan perogol. Ini bermakna mereka turut berdosa dan tidak layak lagi untuk menjadi saksi yang boleh diterima.

Hanya jika mereka dipaksa menyaksi dan diugut oleh perogol atau rakan-rakannya mungkin saksi terpaksa menyaksi tanpa membuat apa-apa. Keadaan ini tidak mungkin berlaku melainkan dalam peperangan umpamanya, di waktu mana rogol berlaku tanpa apa-apa sekatan seperti di Bosnia, di mana orang Serb yang bukan Islam sering merogol. Tetapi mereka bukan Islam dan mengikut undang-undang PAS mereka tidak akan dikenakan hukum hudud.

Yang jelas ialah mangsa rogol yang membuat pengaduan tidak mungkin mendapat saksi-saksi yang boleh diterima di bawah undang-undang PAS. Dengan itu perogol tidak boleh didakwa di bawah undang-undang PAS.

Undang-undang PAS juga tidak akan menerima 'circumstantial evidence' iaitu tanda-tanda pada mangsa yang membuktikan ia telah dirogol. Undang-undang PAS tidak menerima kesan atau cedera luka di tempat-tempat berkenaan atau tanda-tanda pada perogol yang menunjuk mangsanya telah melawan untuk mempertahankan kehormatannya.

Dengan tidak adanya saksi yang empat yang diterima sah oleh undang-undang PAS dan penolakan 'circumstantial evidence' maka pengaduan dan tuduhan oleh mangsa rogol akan ditolak. Perogol akan terlepas daripada apa-apa hukuman.

          Dari pemahaman di atas, apabila Undang-undang ini dilaksanakan, ia akan menindas golongan-golongan tertentu, seperti mangsa rogol.  Ini kerana undang-undang ini dengan jelas menetapkan syarat-syarat yang ketat dan amat sedikit untuk mengesahkan perbuatan zina.  Tidak ada alternatif, contohnya penerimaan ‘circumstantial evidence’ seperti yang disebutkan di atas.  Mangsa rogol yang sudah tentunya tidak akan dapat membuktikan perbuatan rogol tersebut (berdasarkan keperluan 4 saksi) akan boleh didakwa kerana berzina.  Adilkah begitu?


KUPASAN SEKSYEN 46(2)

          Seksyen 46(2), mengenai keterangan qarinah, berbunyi seperti berikut: “Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dapat membuktikan sebaliknya.”

          Sekali lagi isu mangsa rogol timbul.  Jika mangsa tersebut belum berkahwin, hamil ataupun telah melahirkan anak, jika beliau tidak dapat membuktikan beliau telah dirogol, maka beliau akan dikenakan hukuman hudud, iaitu dalam kes ini, rejam sehingga mati / sebatan 100 kali rotan.

          Fikirkanlah, di manakah keadilan di dalam undang-undang Hudud ciptaan PAS ini?  Mangsa rogol (wanita) akan teraniaya. Sedangkan Ajaran Islam tidak sekali-kainya begitu.  Allah s.w.t. berfirman, maksudnya " Allah yang menurunkan Kitab suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan "(Asy-syura:17)

          Satu perkara yang patut ditekankan disini adalah Undang-undang Hudud di atas adalah ciptaan PAS, yang telah diambil bulat-bulat dari sebuah kitab kurun ke13 (maaf tidak dapat dinyatakan nama kitab itu disini) tanpa mengambil kira arus perubahan zaman dan teknologi.

          Kerajaan Pusat, (UMNO) sama sekali tidak pernah menolak Hukum Hudud, tetapi hanya menolak Hukum Hudud ciptaan PAS.  Terdapat perbezaan yang besar dalam kenyataan di atas.  Apa yang diperlukan ialah pemikiran yang rasional dari para pembaca untuk menimbangkan kupasan-kupasan di atas.

6 ulasan:

  1. Pas adalah parti politik Melayu yang menjadi agen tegar DAP.

    Pengikut Pas sudah tidak boleh berfikir secara rasional lagi akibat tarbiah yang berjaya memesongkan pemikiran mereka dari ajaran Islam sebenar.

    Pas berjaya memaksa pengikutnya percaya bahawa parti Pas itu adalah agama dan Islam itu adalah Pas.

    Ini sangat berbahaya kepada aqidah muslim.

    BalasPadam
  2. Pundek la Pas...jaja nama Islam tapi perangainya DAP pun takut.

    Artikel ini sangat baik..dpt sedarkan kami kaum muda tntng keadaan politik negara kita.

    Tapi saya rasa bukan semua ustaz kita sokong pas. masih ramai lagi yg jujur berdakwah bersama dasar2 kerajaan.

    di kg saya, dulu adalah ustaz pas dyg beri ceramah..tp org kg tak kisah lagi. Ustaz yg mengajar skrang ni mmg ikhlas. klw kerajaan buat silap pun dia tegor. dia ajak masy kita maju dan memelihara agama bangsa dan tanahair.

    BalasPadam
  3. salam sahabat, blog tuan sudah dipaut

    BalasPadam
  4. Hukum Allah memang Cantik. Tapi kita yang nak laksana ini kena cerdik. Jangan fikir kita lah yang paling cerdik. Sampai luluskan undang2 kononnya undang-undangan Islam tapi sebenarnya undang-undang rekaan kita yang tidak lengkap.

    Tun Mahathir memang bijak. Selagi tidak ada deraf undang-undang Hudud yang lengkap tak payah lah nak sibuk jaja. Baik kekal dulu apa yang ada sehingga ada yang betul-betul jelas.

    BalasPadam
  5. mmg Tun Mahathir layak digelar negarawan ulung kerana otak beliau. harap Nik aziz? Ulamak ulung pn belum tentu akan dicalonkan. Jd...wahai rakyat negara M'sia marilah kita sama2 memerangi ajaran Islam PAS yg palsu ini...

    BalasPadam
  6. Bertaubatlah dari menentang hukum Allah. Tiada alasan untuk tidak menggunakan hukum hudud yang TERCATIT didalam Al-Quran. mengapa kamu menentang Al-Quran padahal kamu mengaku bahawa kamu itu orang Islam?

    Zaman rasulullah, zaman sahabat dahulu tidak ada komputer dan peralatan canggih masih mampu melaksanakan hukum hudud. sekarang zaman yang lengkap dengan teknologi dan kewangan yang stabil serta keamanan yang dikurniakan Allah masih mahu mencari alasan.

    Ini bukan masalah parti. siapa yang menyokong hukum Allah akan kusokong. jika UMNO menyokong dan melaksanakan hukum Allah, akan kusokong ia juga.

    Cincanglah tubuh badanku dan sedutlah darahku hidup-hidup. nescaya akan tetap kupegang perintah Allah yang telah memberikanku roh dan jiwa.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...